26/07/2012
Industri maritim (baca: perkapalan) memang luas peluangnya. Bagi anak muda yang sukakan cabaran, dan berhajat melihat dunia, ini adalah peluang yang tidak wajar dilepaskan.
Bagi mereka yang memiliki kelayakan akademik yang baik, bolehlah melanjutkan pelajaran dalam bidang sains nautika atau kejuruteraan marin untuk menjadi seorang pegawai dan jurutera di kapal. Namun demikian, bagi mereka yang kurang berjaya dalam prestasi akademik, masih lagi ada jalan lain untuk turut sama mejelajahi samudera yang terbentang luas dan penuh keterujaan itu.
Caranya adalah dengan menjadi kelasi kapal. Kelasi kapal adalah anak kapal melakukan pelbagai tugas dalam membantu pegawai dan jurutera. Tugas-tugas mereka bergantung di bahagian mana mereka bekerja di kapal. Biasanya, bahagian pekerjaan di kapal dibahagikan kepada 3 iaitu bahagian dek/navigasi, enjin dan sajian.
Dek – membantu tugas navigasi di anjungan, penyelenggaraan dek dan struktur kapal (menyerpih dan mengecat), mengendali kren, tugas menambat dan bersauh, operasi kargo dan lain-lain
Enjin – membantu jurutera dalam pengawasan bilik enjin, penyelenggaraan enjin utama, generator, mesin dan peralatan, kebersihan bilik enjin dan lain-lain
Sajian – sebagai tukang masak atau pembantu tukang masak, kebersihan kediaman dan lain-lain
Selain itu, keperluan terbaru dalam Kod STCW akan mewujudkan jawatan kelasi juruelektrik yang tugasnya membantu jurutera elektrik dalam tugas-tugas berkaitan elektrik dan elektronik.
Jadi, apakah langkah pertama anda untuk menjadi seorang kelasi?
1. Memilik Kad Pelaut dan Buku Perkhidmatan Pelaut.
Permohonan Kad Pelaut hendaklah dibuat di Jabatan Laut Malaysia. Pergi ke mana-mana pejabat laut yang mempunyai kemudahan sistem SDPX, dan kad pelaut dapat dibuat. Kad Pelaut merupakan satu dokumen pengenalan diri sebagai pelaut dan menyimpan data-data peribadi seseorang pelaut.
Dokumen yang diperlukan untuk memohon kad ini adalah salinan kad pengenalan, gambar berukuran passport dan laporan pemeriksaan perubatan.
Buku perkhidmatan pelaut pula merupakan satu rekod bagi menyimpan segala maklumat berkaitan pengalaman kerja seseorang pelaut.
Ringkasan
Kad Pelaut – RM50+Salinan Kad Pengenalan+Gambar+LaporanPemeriksaan Perubatan
Buku Perkhidmatan Laut – RM30
Laporan Pemeriksaan Perubatan – RM120 hingga RM200. Perlu dibuat di klinik-klinik yang diiktiraf oleh Jabatan Laut.
2. Kursus Asas Keselamatan /Basic Safety Training (BST)
Kursus ini adalah kursus wajib yang perlu dijalankan sebelum boleh mula bekerja di kapal. Kursus ini berlangsung selama 5 hari yang merangkumi latihan-latihan ikhtiar hidup di air, asas pertolongan cemas, mencegah dan melawan kebakaran serta tanggungjawab keselamatan.
Sijil kursus ini hanya dikeluarkan oleh Jabatan Laut. Kursus ini boleh diikuti di mana-mana pusat latihan maritim yang diiktiraf oleh Jabatan Laut Malaysia.
Selepas memiliki perkara-perkara wajib tadi iaitu; Kad Pelaut, Buku Perkhidmatan Pelaut dan Sijil BST, barulah seseorang boleh memulakan kerjaya sebagai kelasi kapal. Bagi merka yang berhajat belayar di atas kapal tangki (tanker ship), mereka juga perlu memiliki Sijil Latihan Kapal Tangki yang dipanggil Tanker Familiarization.
Walau bagaimanapun, saya ingin mengutarakan satu permasalahan berkaitan usaha menjadi kelasi di kalangan anak muda sekarang. Anak muda yang bersungguh-sungguh menjadi kelasi kapal, apabila ditawarkan untuk mengikuti kursus berkaitan akan rasa sungguh teruja. Mereka ditawarkan kursus asas keselamatan (BST dan Tanker Familiarization) dengan harga yang agak murah dan dijanjikan pekerjaan setelah tamat kursus. Tidak dinafikan ada yang berjaya melaluinya, namun ramai juga yang terkandas kerana kursus yang dijalani (BST dan Tanker Familiarization) hanyalah merupakan latihan asas keselamatan sahaja.
Kursus yang paling utama adalah latihan kemahiran sebagai kelasi kapal. Tidak dinafikan bahawa kos bagi kursus-kursus kemahiran sebagai kelasi kapal adalah agak mahal, tetapi latihan asas keselamatan sahaja tidak mencukupi. Latihan kemahiran sebagai kelasi kapal amat penting kerana latihan sedemikian akan melatih bakal-bakal pelaut dengan ilmu dan kemahiran yang berkaitan dengan bidang tugas yang akan dilaksanakan, bukannya hanya memiliki latihan asas keselamatan dan seterusnya berhajat belajar berkenaan kemahiran di atas kapal nanti.
Oleh itu, saya mencadangkan agar bakal-bakal pelaut baru hendaklah memiliki latihan kemahiran yang berkaitan terlebih dahulu supaya lebih mudah mendapat perkejaan nanti.
Berbalik kepada topik asal, disenaraikan Pusat-Pusat Latihan yang menawarkan Kursus Kemahiran Asas sebagai kelasi kapal.
Akademi Laut Malaysia
Able Seafarers Deck
Able Seafarers Engine
Able Seafarers Catering
Ranaco Education & Marine Service
Deck Rating
Engine Rating
General Purpose
Marine Mechanic
Pelita Maslaut
Efficiency in Deckhand Course
Efficiency in Marine Engineering
Certificate in Marine Rating – Navigational
Certificate in Marine Rating – Marine Engineering
Institut Kemahiran MARA
Sijil Kejuruteraan Maritim
Sijil Teknologi Maritim
Nadi Mahir
Seafarers Deck Rating Course
Seafarers Stewarding Course
Bagi kursus-kursus latihan asas keselamatan pula, hampir kesemua pusat-pusat latihan maritim yang diiktiraf oleh Jabatan laut menawarkan kursus berkenaan (BST dan Tanker Familiarization)
Sebagai rumusan, dirangkumkan keperluan asas yang dicadangkan untuk memulakan kerjaya sebagai kelasi kapal.
Kad PelautBuku Perkhidmatan PelautBasic Safety TrainingKursus Asas Kemahiran KelasiTanker Familiarization (Untuk berkhidmat di atas kapal tangki)Asas bahasa Inggeris (Untuk peluang berkhidmat di kapal asing)
Dengan memiliki keperluan ini, bakal-bakal pelaut bolehlah memohon untuk jawatan berikut;Dek – Ordinary Seaman (OS) atau General Purpose Deck (GP Deck)
Enjin – Junior Rating (JR) atau General Purpose Engine (GP Engine)
Sajian – Steward
Selamat berjaya sebagai kelasi kapal. Kerjalah bersungguh-sungguh kerana peluang untuk peningkatan kerjaya masih lagi terbentang luas.